Sunday, November 2, 2008

Penipu

Sumber:
http://fatekma.uthm.edu.my/forum/viewtopic.php?t=217&sid=8101b2b38226d51e9e04fbb7924d89b0


Oleh THOMAS CHONG

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Kumpulan proaspirasi mengulangi kejayaan besar hampir di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila berjaya mencapai kemenangan mutlak dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2007/2008.

Pilihan raya kampus yang diadakan secara serentak di seluruh negara itu bagaimanapun menyaksikan kumpulan proaspirasi tumpas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Paling mencuri tumpuan pada pilihan raya kali ini ialah di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UIAM yang menyaksikan persaingan sengit antara calon proaspirasi dan propembangkang.

Luar biasanya, pilihan raya kampus di UM tahun ini telah dicemari dengan dakwaan kemunculan ‘pengundi hantu’ di pusat pengundian Kolej Ke-12 di situ.

Utusan Malaysia difahamkan ‘pengundi hantu’ itu terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga pelajar Pusat Asasi Sains yang tidak layak mengundi.

Keadaan itu juga menyebabkan satu ‘pilihan raya kecil’ terpaksa diadakan di kolej kediaman itu. Keputusan penuh mengenainya dijangka akan diketahui esok.

Di UIAM, Koordinator Gerakan Pro-Mahasiswa, Meor Affandi Meor Abd. Aziz mendakwa calon propembangkang memenangi sekurang-kurangnya 18 kerusi daripada 27 yang dipertandingkan.

Kenyataan tersebut bagaimanapun ditolak penyokong proaspirasi yang mendakwa calon mereka telah memenangi tujuh kerusi di kampus Gombak dan bukannya dua kerusi seperti yang didakwa kumpulan propembangkang.

Kekeliruan itu timbul dipercayai disebabkan wujud calon yang menggelar diri mereka sebagai calon berkecuali.

Ramalan awal yang mengatakan akan wujud persaingan sengit antara dua kumpulan itu di UKM bagaimanapun berakhir dengan kemenangan mudah kumpulan proaspirasi yang memenangi 30 daripada 34 kerusi yang dipertandingkan.

Di UPM, kumpulan proaspirasi mengekalkan pengaruhnya di kalangan mahasiswa apabila propembangkang sekadar menang enam daripada 48 kerusi.

Kumpulan propembangkang UPM bertanding semula tahun ini selepas memboikot pilihan raya kampus tahun lepas.

Sementara itu, MPP Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi dikuasai proaspirasi selepas calon kumpulan itu memenangi 37 kerusi daripada 45 kerusi.

Keadaan sama juga berlaku di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) apabila proaspirasinya mencapai kemenangan di 18 kerusi tetapi tewas dua kerusi.

Calon proaspirasi terus menguasai MPP di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Turut dikuasai proaspirasi ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UMP).
_________________
:: rilex ajer ::

No comments: